Menjadi pemimpin itu bukan suatu perkara yang mudah. Antara menjadi pemimpin yang amanah menjalankan tanggungjawab atau menjadi pemimpin yang menjadi perosak kepada pucuk pimpinan dan masyarakat.
Pimpinan itu seharusnya tidak diminta, dicari dan dirayu untuknya tetapi peganglah pimpinan itu apabila diminta menjadinya. Kelak diri akan dipersoal, mengapa dahulu begitu yakin mahukan jawatan apabila diberi, amanah hilang ke mana, pucuk pimpinan hilang ke mana?
Ketua itu tugasnya membuat keputusan, memikirkan ide bagi mensejahterakan ahli pimpinan. Sejahterakah ahli jika hanya resolusi- resolusi yang permukaan sahaja dan lebih malang hanya mengenyangkan perut- perut yang sememangnya telah buncit?
Sering pemimpin itu gagal mencari resolusi menangani masalah. Sedang masalah sebenar masyarakat adalah masalah jiwa. Masalah jiwa itu tidak dapat di tangani hanya dengan solusi permukaan, masalah jiwa itu memerlukan pengisian, dan pengisian yang paling utuh adalah pengisian rohaniah. Aspek rohaniah inilah yang menjadi teras serta aspek terpenting dalam individu yang bernama insan.
Insan itu dibentuk dengan jiwa. Jika baik jiwanya, maka baiklah insan tersebut. Mengapa sering lari pemimpin dari memikirkan akan masalah jiwa ini? Yang sering dihulur membantu hanya aspek permukaan dan kebendaan. Anda melawat kawasan- kawasan pendalaman dan berjumpa mereka yang tidak pernah ketemu dengan ketamadunan.
Seterusnya anda memberikan teknik belajar, bagaimana menjalani cara hidup bertamadun, anda memberikan bantuan serta kemudahan agar mereka gembira dan senang. Sedang, yang tidak anda dengar adalah rintihan jiwa mereka yang kosong yakni empunya jiwa turut tidak mampu mendengar keluhan jiwa tatkala melihat kebendaan- kebendaan yang dibawa anda kepada mereka.
Mengapa pemimpin sering lari dari menyelesaikan masalah jiwa? Mengapa masalah dunia sejagat ini sering dipisahkan dari masalah jiwa? Jiwa yang mempunyai pegangan itu lebih utuh berbanding jiwa yang tidak mengetahui akan pegangan. JIwa yang mempunyai pegangan itu hidup lebih terarah kerana jiwa terisi dengan matlamat kehidupan yang satu.
Atau mungkin, anda pemimpin turun dengan slogan menyelamatkan masyarakat hanya semata untuk meraih tanda pangkah dari masyarakat? Jika itu adalah kebenarannya, maka, adalah amat malang bagi mu wahai pemimpin, kerana pimpinanmu itu akan mempersoalkan diri kembali di hari muka yang abadi.
Sedarlah wahai pemimpin akan tanggungjawab anda!
Hidup di dunia sebagagi pemimpin ini bukan kekal abadi.
Abadi kita di akhirat sana sebagai umat manusia yang dipersoalkan akan amanah yang dipegang.
Pemimpin dan jiwanya itu perlu mempunyai pegangan. Jika tidak, pimpinan anda hanya suatu yang sia- sia di alam baka.
Konklusi: Ingat wahai pemimpin,adalah paling penting anda sebagai pemimpin JAGALAH JIWA, JAGALAH PEGANGAN, JAGALAH AGAMA!
hanya sekadar cebisan pemikir[aku] yang picisan
23 September 2011
Subscribe to:
Comments (Atom)

