hanya sekadar cebisan pemikir[aku] yang picisan
26 March 2018
Kenapa aku berada di dunia ini? 16
Hamba
Iya itu kita
kita yang dihantar
Melalui Rahim bonda
Menjadi tanah acuan hamba Tuan
Atau
Menjadi tanah acuan pseudo kebebasan.
Hamba
Hamba yang diberi pilihan
Pilihan seluas angkasa raya
Benarkan Tuhan membiarkan kita
Atau kita yang memilih untuk dibiarkan?
Ar- rahman
Jika benar Dia membiarkan kita
Tiada sudah nafas
Tiada sudah keselamatan
Tiada sudah teduhan
Tiada sudah tulisan ini untukmu
Kerana ar-Rahman itu menjaga
Waima Kafir atau Iman.
Ar-Rahim
Persis kantung bonda
Mentala kita kepada iman
Paksa atau rela
Dia berikan rasa
Kuasa pilihan itu pilihan kita
Sambutlah iman
Atau
kebebasan tiada pangkal dalilnya lagi.
Bebas
Bebas itu istilah
Wujudnya hanya di bumi fana
Menjadi timbal tara abadi
Mahu dingin atau bahang
Kerana hakikat
Seorang hamba
Tiada ruang erti kebebasan
Melainkan tertakluk dalil
Pada Tuannya.
Ubah
Mengubah acuan
Mereka panggil gila kerana
Sedikit gembira
Banyaknya sakit berjuta pedih
Itu asas ramuan resipi
Tatkala kau dan aku
Mengubah acuan kelahiran
Mengubah acuan penggendong kantung rahim
Mengubah acuan teman serahim
Mengubah acuan setiap jiwa
Kembali bergelar hamba.
Setan
Musuh lagenda orang tua kita
Berjuta dekad sumpah di kota
Cendekiawan khannas gigih mengkaji
Mencampak ragu seperti manisan
Sedang hamba itu 49:15
Kelak mereka berlepas 14:22
Setelah hamba lemas di lautan ragu
Kuli
Hamba itu kuli
Kuli yang mencari Tuan
Hanya Tuan mengerti kuli
Apa kuli mahukan
Apa kuli perlukan
Mengapa lama?
Kuli menunggu Tuan dengan sabar
Tuan juga menunggumu berganda sabar
Menanti kuli hadir dengan hati serta amal
Yang benar.
Benar
Naskhah 114 Tuan memanggilmu
Berbual dengan makhraj yang benar
Berborak dengan hukum yang benar
Berbincang dengan keinginan yang benar
Persetan hati yang kosong
Jika hati itu benar
Tiada yang menghalang dirimu
Dengan Tuan.
Mata
Pejamkan matamu
Buka mata hatimu
Izinkan aku
Menyuluh cahaya denganmu
Hulurkan tanganmu keluar lautan itu
Bukan aku yang menyambut
Tapi Tuan
Tuan yang sama menyambut aku
Suatu masa dulu.
Perjalanan ini
Mencari titik
Menerima untuk Memaafkan diri
Merasa semesta Kepunyaan Tuan
Agar tunduk dan taat mentadbir bumi
Kerana
Tarbiyah itu hakikatnya
Rabbaniyah.
26 February 2018
Kenapa aku berada di dunia ini? 15.
Melangkau usia dan masa.
Setelah menerima cahaya, kini genap 11 tahun tempoh pergelutan antara al-haq dan jahiliyyah dalam usaha mencelup diri sepenuhnya ke dalam sibghatullah.
Perjalanan semakin mencabar tatkala semakin banyak yang di pelajari dalam menguruskan hal ehwal fasa dunia sebelum berangkat ke alam roh. Begitu banyak persiapan, terasa begitu lama, namun bila di banding dengan kehidupan selepas ini, dunia tidak lama hanya terasa sesaat(10:45) sahaja kehidupannya!
Tekanan demi tekanan di hadapi, semakin tinggi peringkat kehidupan.
Masa menjadi lawan utama yang perlu dijinakkan.
Modal yang diperlukan adalah hubungan yang erat denganAllah sebagai bekal untuk menghadapi dunia yang kian menggila.
“Kau tidak akan gila selagi memegang erat tali Allah(3:103)”, hati ingatkan diri.
Jika bukan kerana adanya hari pertemuan denganMU ya Allah(18:110), aku adalah yang pertama berundur dalam pertarungan jiwa yang menyesakkan dengan episod terakhirnya tidak ketahuan lalu nanar datang menyapa.
Sungguh, aku mencemburi ketajaman para sahabat baginda nabi dalam berfikir dan bertindak. Tertanya- tanya didikan apakah yang diberikan baginda sehingga mereka itu menjadi insan yang sentiasa membara kehadapan cabaran. Teruskan mengkaji dan latihan uji kaji diri.
Jangan mengalah, sesekali jangan.
Kerana dunia ini sebentar, buat bila kau mengalah dan maut tiba, apa lagi yang boleh kumpulkan kerana masa telah tamat? Ya, penyesalan yang tiada guna(6:27).
Bersabarlah. Belajarlah. Harungilah.
Inilah yang dijanjikan Allah dan rasul(2:214).
Perit dan jerih itu hidangan utama jalan para pejuang kebenaran!.
Subscribe to:
Comments (Atom)
